Jan 22, 2021 - FASAliff Haiqal Lokman Hakim Lau (Aliff Haiqal) atau lebih mesra dengan panggilan Nonet dalam pasukan, merupakan pemain terawal dari Selangor 2 yang dinaikkan ke pasukan utama Red Giants pada musim yang lalu.
Sejak Haiqal berusia 3 tahun, beliau mula berlatih dalam sukan bola sepak bersama ayahnya yang juga bekas pemain Selangor satu ketika dahulu, Lao Kok Kit (Lokman Hakim Lau, setelah memeluk Islam) sehingga lewat tahun 2011.
Sewaktu berusia 12 tahun, beliau kemudiannya berlatih bersama pasukan belia CIMB-YFA sebelum menerima tawaran menyertai Sekolah Sukan Malaysia Bandar Penawar, Johor (kini dikenali sebagai Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail).
Walau bagaimanapun, nama Haiqal mula menjadi buah mulut peminat bola sepak Malaysia setelah beliau terpilih menjadi salah seorang pemenang program realiti TV bola sepak, Mencari Ramli musim ke 3 pada tahun 2013.
Beliau yang baru berumur 14 tahun ketika itu hanya mahu mencuba nasib, namun bakat yang dimilikinya sudah cukup telah membawanya jauh ke Old Trafford, di mana beliau diberi peluang untuk berlatih di rumah pasukan bola sepak gergasi Liga Inggeris, Manchester United.
Beliau kemudiannya mendapat panggilan untuk menyertai pasukan kebangsaan B-16 tahun di bawah kendalian P. Somasundra selepas mempamerkan aksi yang baik dalam program realiti TV tersebut.
Pemain yang berasal dari Kajang ini berjaya membuat 16 penampilan untuk pasukan kebangsaan serta menjaringkan dua gol sepanjang 2014 sehingga 2016. Salah satu daripada gol tersebut adalah sewaktu menentang pasukan Iraq yang telah menjadikannya sebagai penjaring ke-3 terbaik Liga Juara AFC 2016.
Kecemerlangan Haiqal bersama skuad kebangsaan telah membantunya mendapat tempat dalam pasukan Presiden PKNS FC pada tahun 2018. Setahun kemudian, beliau berjaya memikat hati ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal serta berjaya membuat penampilan pertama bersama pasukan utama The Red Ants menentang Melaka FC dalam saingan Liga Super musim 2019.
Pada musim yang sama, beliau turut kembali membantu rakan sepasukan skuad Presidennya apabila membantu pasukan tersebut menjulang kejuaraan Piala Presiden.
Kariernya bersama Selangor bermula selepas pasukan bola sepak Selangor FA dan PKNS FC digabungkan di bawah satu entiti dan beliau diserap masuk ke pasukan Piala Presiden Selangor 2020.
Musim 2020 menjadi tahun paling manis untuk karier bola sepak Haiqal apabila beliau beraksi dengan cemerlang bersama pasukan Presiden Selangor sebelum pandemik Covid-19 melanda kancah bola sepak negara sehingga mendapat perhatian ketua jurulatih Selangor 2, Michael Feichtenbeiner untuk bermain bersama pasukan kendaliannya.
Haiqal terus mendapat kepercayaan daripada Coach Michael untuk membuat penampilan pertama dalam karier profesionalnya bersama pasukan Selangor 2 semasa menentang Kuching FA dan berjaya menjaringkan gol debutnya dalam perlawanan tersebut.
Selepas empat perlawanan beraksi dalam Liga Premier, karier pemain tengah ini terus meningkat naik apabila diberikan kepercayaan untuk membuat penampilan pertamanya bagi pasukan utama Selangor sewaktu perlawanan menentang UiTM FC pada musim lalu.
Selain telah bermain dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super bersama pasukan utama Selangor, beliau turut beraksi dalam satu perlawanan Piala Malaysia sebelum kejohanan tersebut dibatalkan ekoran penularan COVID-19.
Disember lalu, beliau telah disenaraikan dalam 25 pemain pasukan utama Selangor bersama 4 pemain muda yang lain untuk musim 2021.
"Saya berasa bangga dan bersyukur kerana diberi peluang untuk bermain bersama skuad utama Selangor FC pada musim 2021. Ini adalah salah impian yang setiap pemain bola tempatan inginkan, iaitu bermain dalam liga tertinggi di Malaysia," terang Haiqal.
"Matlamat utama saya adalah untuk beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan dan berharap Selangor dapat memenangi kejuaraan serta dapat kembali beraksi di peringkat Asia," jelas Haiqal mengenai harapannya bersama pasukan Selangot FC.
Beliau juga merasakan ini merupakan batu loncatan untuknya mendapat perhatian daripada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
"Setiap pemain menaruh impian untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Saya berharap untuk dapat beraksi dengan lebih baik bersama pasukan Selangor untuk tahun 2021 dan dalam masa yang sama, mendapat perhatian Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih kebangsaan, dan dipanggil untuk mewakili Harimau Malaya," tambahnya.
Selangor FC mendoakan lebih banyak kejayaan untuk Aliff Haiqal Lau untuk musim 2021 dan semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bola sepak Malaysia.
Semoga berjaya, Nonet!